Saturday 6 September 2014

Kisah Cinta Aku.

Selamat datang buat isteriku.
Selamat datang ke dalam hidupku.
Hidup aku,
cuma ada aku.
Kain sehelai sepinggang.
Baju koyak tidak dijahit.
Mandi ku masih berdaki.
Kadang tidak bersabun.
Kadang tidak bersyampu.
Kais pagi makan petang.
Kais petang makan malam.
Tidak sempurna.
Maka hiduplah dalam kesederhanaan dengan material.
Tapi mewah dengan akhlak dan taqwa.

Aku tidak mengharapkan gadis secantik Zulaikha,
atau teman sematang Khadijah,
atau wanita secerdik Aishah,
atau perempuan sehebat Balqis.

Bagiku cukuplah engkau yg bernama indah,
sebagai pelengkap rusuk kiri,
selain peneman tatkala sepi,
penghibur sewaktu sunyi,
penyeri ruang sanubari,
ketua kepada bidadari,
di Syurga Firdausi.
InsyaAllah.

Aku ini pemimpinmu,
tetapi aku juga manusia.
Kadang waras.
Kadang gila.
Kadang rasional.
Kadang semberono.
Kadang bagus.
Kadang poyo.

Hidup kita.
Bakal lain.
Tak semuanya putih.
Tak semuanya cantik.
Warna-warni.
Mungkin merah menyala.
Mungkin hitam muram.
Mungkin kuning menyilau.
Mungkin biru tenteram.
Mungkin hijau.

Banyak yang bakal kita lalu.
bergaduh?
bertekak?
Ah.
Asam garam.
Musyawarah.
Itu yang kita pegang.
Baik di meja makan.
Baik di tikar solat.
Baik di dalam kereta.
Baik di dalam kelambu.
Selagi kita pegang hasrat menuju Tuhan,
selagi dipegang dalil naqli.
selagi itu masjid kekal konkrit lagi utuh.

Ingatlah pesanan aku.

Taatlah aku selagi aku taat pada Allah.
Tegurlah aku jika aku menyimpang dari redha Nya.
Kasihkan aku sebagaimana aku kasihkan engkau.
Pimpin tanganku supaya kita saling membimbing.

Sungguh.
Aku tak baik.
Aku juga tak harapkan engkau baik.
Tetapi aku redha jika aku dan engkau mahu menjadi baik.

Fastabiqul khairat.
Kita sama-sama.
Sentiasa bersama.
Selalu.
Sampai syurga.
Ok?

Aku zauj.
Engkau zaujah.
Kisah cinta bermula.
Doakan.






Friday 14 February 2014

Hobin Jang Hobin.

"Luaskan kuasamu"
"This is Pantai Timur"
"Ngap Sayot"

Sedang gergasi-gergasi bergaduh melalak,
mendabik dada siapa sang juara,
bersumpah-sumpah siapa lantang suara,
men'tongsampah'kan si macai,
me'mulutlongkang'kan sang otai.

Aku dengan sempoi dan hensemnya,
masih menyokong pasukan aku.
Negeri Sembilan.

Main liga perdana,
duduk nombor 5.
Aku masih pergi stadium kalau berkesempatan.
Kalah?
Menang?
Apa ada hal.

Biar dikutuk,
dihina dengan nama apa pun.
Asal bukan dua benda sedia hina ni:

1) Lalang;
2) Glory Hunter.

Sebab aku bukan.

#HobinJangHobin

Friday 10 January 2014

Siapa Yang Bagi?

Kau kalau lapar,
boleh pergi restoran,
beli nasi lemak kukus peha ayam goreng rangup.
Atau mihun sup gearbox tambah kicap cili padi blend.
Atau pesan nasi putih lauk sayur campur dengan ikan siakap kukus masak stim limau.
Dengan dessert kek aiskrim karamel cheese.

Tapi nikmat sedapnya makanan siapa yang bagi?

Kau kalau dahaga,
boleh singgah gerai tepi jalan,
beli coconut shake ala Klebang di kala tengah hari.
Atau pesan Hazelnut Macchiato di Starbuck.
Atau jus mangga campur dengan susu di kedai Ahmad buah Keramat.
Teguk air kosong 20 meter padu sehari.

Tapi nikmat hilangnya dahaga siapa yang bagi?

Kau kalau mengantuk,
boleh tidur tutup lampu,
di atas tilam yang paling empuk,
di kala malam yang dingin dek hujan,
sunyi suasana melainkan rintik derai air yang renyai,
menyelimuti tubuh dengan selimut kulit beruang.

Tapi nikmat lenanya tidur siapa yang bagi?

Kau kalau sesat,
kau tadah tangan berdoa.

Kau kalau tersasar,
kau bangun malam bertaubat.

Kau kalau terasa jauh,
kau basahkan lidah dengan zikir.

Sebab kau tahu kan?
Manisnya iman,
indahnya Islam,
lazatnya hidayah,

Siapa yang bagi?