Friday 19 April 2013

Teori Kenujuman

Paranoid.
Jangan.
Paranoid.
Jangan.

Ahli-ahli nujum negara Masai sudah berkumpul.
55 hari mereka bertapa,
dan bermusyawarah.
Mengikut tilikan mereka,
kalau dikira-kira,
dibilang-bilang.
Negara Masai bakal huru hara.
Digadai akibat hutang.
Dijual kepada pedagang.
Dijadikan tempat penyebaran agama asing.
Dibenarkan lambakan garam, beras, telur.

Masa aku percaya?
Dengan hujah tak semenggah begitu.
Ada orang percaya?
Mereka ahli nujum.
Cuma ahli nujum.
Teori mereka cuma berasaskan konspirasi,
dan ruang logika sempit ciptaan mereka sendiri,
yang sebenarnya tidak logik.

Aku tidak salahkan pegangan sahabat-sahabatku ahli nujum.
Aku faham benar bagaimana "ketakutan tak terserlah",
bersatu dengan roh dan jiwa mereka.
Aku celik bangat bagaimana momokan-momokan tak bertulis yang mereka gelar adat dan pantang-larang,
sering dibisikkan ke telinga sewaktu masih rebung.

"Jangan duduk di atas bantal, nanti naik bisul"
"Tak elok anak dara menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua"
"Jangan duduk di tangga, nanti jodoh lambat"
"Jangan tidur di depan pintu, nanti dilangkah hantu"
"Jangan kencing atas busut, nanti......"

Tidak.
Aku tidak salahkan maksud tersirat nasihat-nasihat ini.
Tapi aku mempersoalkan cara mendidik berteraskan ancaman.
Hasilnya?
Masyarakat yang takut dengan bayangan sendiri.
Takut mengambil risiko.
Bagaimana kita mahu mengharapkan keberanian,
apabila hidup dari kecil disekolahkan dengan ketakutan?

Aku faham.
Aku juga pernah melaluinya.
Tapi sedarlah.
Sampai bila kita enggan merentasi sungai,
semata-mata takut dengan ancaman buaya?

Paranoid.
Jangan.
Paranoid?
Jangan.
Paranoid.
Aku bilang jangan! Jangan! Jangan!

Kalau takut dengan risiko.
Usah bicara soal perjuangan.


Saturday 6 April 2013

Pakatan Gajah & Rantai Besi

Sekumpulan anak gajah merentap kaki-kaki mereka sendiri.
Tapi apakan daya,
ikatan rantai besi itu lebih tegar.
Tiada upaya untuk melepaskan diri.

Kumpulan gajah itu sudah semakin besar,
Besar gajah.
Setakat rantai besi kecil yang dah berkarat tak bertukar setengah abad.
Apalah sangat?
Tapi mereka tidak pernah mencuba.
Mereka takut mencuba.
Kali ini bukan kaki.
Tetapi jiwa mereka yang sudah dirantai.
Mereka sudah berjiwa hamba.
Hamba kepada rantai kerepot yang gila kuasa.
Tiada kapasiti menjadi pemimpin.
Tetapi kekal di situ bagaikan raja.
Ke'raja'an atas dasar ketakutan.
Takut gagal.
Takut risiko.
Takut nak buat perubahan.

Sekarang,
Gajah-gajah ini sudah terbahagi kepada tiga.
Komplot yang pertama adalah gajah cakna yang sudah terjaga dari bayangan penipuan.
Sedar akan betapa naluri upaya mereka sendiri,
cukup kuat untuk memecahkan monopoli taksub rantai besi di kaki mereka.
Kumpulan yang ingin menghidu, merasa dan menikmati kebebasan.
Ya, mereka cukup makan.
Tetapi apakah 'cukup makan' itu adalah siling bagi kebebasan dan kejayaan?

Komplot kedua adalah gajah-gajah yang masih dungu mengabdikan diri mereka pada si raja rantai.
Minda mereka didoktrin secara berkesan,
di penuhkan otak mereka dengan bayang-bayang bahak ketawa si rantai.
Cukup tepu sehinggakan telinga sebesar piring parabola itu pun tiada fungsi.
Ditutup kerana tidak mampu dan tidak mahu menerima kebenaran.
Mereka ingin terus abadi bersama si rantai yang makin tua bangka.
Biarlah tiada kebebasan.
Ya lah, sudah cukup makan.
Apa lagi?
Bersyukur sudah.

Komplot yang ketiga?
Nun jauh disana.
Duduk sambil memerhatikan komplot-komplot lain.
Ketawa bersama-sama si raja rantai.
Gila agaknya.