Friday 19 April 2013

Teori Kenujuman

Paranoid.
Jangan.
Paranoid.
Jangan.

Ahli-ahli nujum negara Masai sudah berkumpul.
55 hari mereka bertapa,
dan bermusyawarah.
Mengikut tilikan mereka,
kalau dikira-kira,
dibilang-bilang.
Negara Masai bakal huru hara.
Digadai akibat hutang.
Dijual kepada pedagang.
Dijadikan tempat penyebaran agama asing.
Dibenarkan lambakan garam, beras, telur.

Masa aku percaya?
Dengan hujah tak semenggah begitu.
Ada orang percaya?
Mereka ahli nujum.
Cuma ahli nujum.
Teori mereka cuma berasaskan konspirasi,
dan ruang logika sempit ciptaan mereka sendiri,
yang sebenarnya tidak logik.

Aku tidak salahkan pegangan sahabat-sahabatku ahli nujum.
Aku faham benar bagaimana "ketakutan tak terserlah",
bersatu dengan roh dan jiwa mereka.
Aku celik bangat bagaimana momokan-momokan tak bertulis yang mereka gelar adat dan pantang-larang,
sering dibisikkan ke telinga sewaktu masih rebung.

"Jangan duduk di atas bantal, nanti naik bisul"
"Tak elok anak dara menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua"
"Jangan duduk di tangga, nanti jodoh lambat"
"Jangan tidur di depan pintu, nanti dilangkah hantu"
"Jangan kencing atas busut, nanti......"

Tidak.
Aku tidak salahkan maksud tersirat nasihat-nasihat ini.
Tapi aku mempersoalkan cara mendidik berteraskan ancaman.
Hasilnya?
Masyarakat yang takut dengan bayangan sendiri.
Takut mengambil risiko.
Bagaimana kita mahu mengharapkan keberanian,
apabila hidup dari kecil disekolahkan dengan ketakutan?

Aku faham.
Aku juga pernah melaluinya.
Tapi sedarlah.
Sampai bila kita enggan merentasi sungai,
semata-mata takut dengan ancaman buaya?

Paranoid.
Jangan.
Paranoid?
Jangan.
Paranoid.
Aku bilang jangan! Jangan! Jangan!

Kalau takut dengan risiko.
Usah bicara soal perjuangan.


No comments:

Post a Comment